Hariz Dalam Kenangan, Ulang Tahun Pertama

Coretan kali ini berdasarkan coretan Yani di Facebook mengenai kenangan bersama Hariz. Hanya sekadar menulis balik di blog bagi mudah dirujuk kembali bagi menceritakan kepada abang-abang Hariz bahawa mereka punya adik yang segak menanti di Syurga kelak. Ianya juga sebagai peringatan buat diri sendiri dikala terlalu alpa dengan kemewahan dunia.

Semuanya ada empat (4) post di Facebook, dan Yani akan gabungkan kesemuanya dalam satu blog. Mulanya ingin menulis mengenai Hariz kerana pada 13 Ramadhan merupakan hari ulangtahun kelahiran Hariz yang pertama. Maklumlah, bila ada anak kecil semua ibu bapa sangat teruja untuk meraikan ulangtahun pertama anak-anak mereka. Sambutan yang paling meriah merupakan satu kemestian.

 

Peringatan dari Yani:

DILARANG sebarang copy paste. Ini adalah cerita peribadi dari Wan Muliani. Saya berhak untuk report  mereka-mereka yang tidak bertanggung jawab copy cerita ini*

 

 

Bahagian 1: Detik Bersama Anak Syurga

Yani bersalin 13 Ramadan (tahun 2016).Discaj dari hospital jam 1 petang esoknya. Naik ke NICU melawat baby Hariz. Itu kali pertama Yani ke situ dan melihat sendiri keadaan beliau. Yani ingat sudah kuat kerana pengalaman Haziq dulu pernah admit NICU.

Tapi bila melihat keadaan Hariz yang bergantung pada alat pernafasan(intubate) hati rasa hancur luluh. Air mata laju keluar tanpa dapat ditahan. Namun hati seorang ibu tetap mengharapkan KEAJAIBAN kan?

Yani tenangkan hati yang Hariz tetap akan kembali ke pangkuan kami tak lama lagi. Biar doktor rawat beliau sebaiknya. Yani berikan masa untuk itu. Balik ke rumah kami rehat dan lapangkan fikiran. Tak fikir soal Hariz. Hadif dan Haziq di rumah perlukan perhatian kami. Dean Kayree yang tak cukup rehat (dari malam Yani bersalin-masuk ward jam 1 pagi-3 pagi dia balik rumah-4 pagi hospital call mintak ke NICU). Ye, kami penat mental dan fizikal. Yani langsung tak cerita pada ma, ayah dan mak keadaan Hariz waktu tu. Hanya minta mereka doakan yang terbaik.

Lepas terawih suami kata nak ke hospital jenguk Hariz, tapi dia tertidur. Terjaga waktu sahur jam 4.30 pagi kami terkejut tengok telefon ada banyak miss call dari hospital. (sampai sekarang masih bersisa ketakutan itu, menggigil jari saat menaip dan bergetar hati mengingatkan kembali)

Bila suami call hospital balik, doktor kata Hariz kritikal. Mintak datang segera. Allahuakbar!

Jantung terasa berhenti berdenyut, kaki terasa berada di awangan, muka mula terasa panas dan air mata mengalir deras. Mulut terkumat kami menyebut kalimah

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar

dan selawat pada nabi.

Yang Yani mahu waktu itu hanyalah kekuatan pada hati kami atas apa sahaja yang bakal berlaku. Allah tambahkan kekuatan pada kami. Yani tahu tidak mampu untuk minta Allah kurangkan kesakitan yang ada. Yani terus mandi dengan air suam, sapu minyak herbanika seluruh badan, pakai bengkung, pakai stokin dan baju yang selesa.

Suami pulak Yani mintak dia bersahur dulu. Sempat dia minum segelas ESP dan makan kurma. Yani masih sembunyikan keadaan sebenar di depan ma dan ayah. Taknak mereka risau. Sampai je ke hospital azan subuh berkumandang Yani mintak suami solat subuh dulu. Selesaikan dulu perkara wajib.

Yani naik sorang ke NICU. Berbekalkan hormon oksitosin, rasa kasih dan sayang yang Allah berikan pada seorang ibu, Yani melangkah terus menuju ke NICU. Dalam hati Yani Hariz perlukan dakapan hangat ibunya. Hariz perlukan semangat dan positive vibes dari ibu untuk berjuang meneruskan kehidupan.

Allah di saat menatap sekujur badannya yang cukup tenang, wajahnya dah berubah dari saat Yani tatap dalam labour room. Cukup lain. Menanti suami siap 2 rakaat solat subuh bagaikan 2 jam lamanya. Setiap detik terasa lambat berjalan. Tekak mula rasa kelat untuk menelan air liur.

Yani belai jari jemari Hariz, dia balas dengan genggaman erat. Yani geletek tapak kakinya dia menendang halus tanda geli. Saat itu cukup indah Yani rasakan. Walau dia ditidurkan tapi dia tahu kehadiran Yani.

 

Hariz Dalam Kenangan

 

Suami sampai dan bacakan yasin buat beliau. Datang seorang doktor pakar dan menceritakan keadaan Hariz.

Semalam baby awak tenat, kami dah tambahkan semua dosage ubat. Ini dah tahap maksimum untuk usia dia. Sekarang kami tunggu ada respond badan beliau. Hanya ini sahaja usaha yang kami mampu setakat ini.

Saat itu Yani rasa lega. Entahlah. Yani rasa Hariz masih kuat. Yani yakin sangat badan Hariz perlukan masa untuk menerima dosage ubat itu. Ye Hariz hanya perlukan masa. Ibu tunggu. Lama kami membelai Hariz pagi tu. Selesai mengaji dalam jam 8.30-9.00 pagi kami pulang ke rumah untuk berehat.

Nurse pon minta Hariz rehat. Kuman yang ada dalam badannya sangat agresif. Mereka risau kehadiran kami menambahkan lagi kuman yang ada. Mereka mohon kurangkan ‘body contact’ pada Hariz. Kami redha dan berlalu pergi meninggalkan Hariz untuk berehat. Pulang ke rumah seperti biasa Yani akan lapangkan fikiran. Seolah-olah tiada apa serius yang berlaku. Yani berehat dan lelapkan mata.

Rehat yang cukup sangat penting untuk Yani tenangkan diri. Kain yang membaluti Hariz sejurus lahir Yani peluk, usap dan cium semahunya. Masih ada saki baki bau beliau di situ. Sempat suami ke pejabat pendaftaran untuk register nama Hariz. Naluri seorang ayah, dia takut sangat tak sempat register nama Hariz. Saat itu mak mesej cadangan nama buat Hariz.

Asalnya Yani nak namakan Hariz Ramadan, mengambil nama bulan kelahiran beliau. Tapi mak cadangkan beberapa nama lain. Namun gerak hati kami berdua terpaut pada nama Rajaie yang bermaksud pemelihara harapan. Tanpa lengahkan masa Yani berikan nama itu pada suami dan dia siapkan sijil kelahiran Hariz. Alhamdulillah dipermudahkan urusan daftar kelahiran.

Tiba-tiba jam 11 pagi suami dapat panggilan hospital sekali lagi. Kali ini doktor pesan “bawa isteri bersama”. Ringkas je pesanan itu tapi ia membawa erti yang cukup mendalam. Cukup untuk Yani tafsirkan keadaan Hariz sekarang.

Allah
Allah
Allah

Kau tambahkan lagi kekuatan dan kesabaran pada hati kami. Hanya pada mu tempat kami bergantung. Perjalanan menuju ke NICU tanpa sepatah kata dari kami berdua. Masing-masing mencari ruang untuk bertenang.

 

 

Bahagian 2: Detik Perginya Anak Syurga

Sebaik kami tiba ke kamar Hariz, melihat beliau dikerumuni ramai doktor dan jururawat.

Allah…

Apa sebenarnya yang berlaku?
Sudah sampaikah waktunya?

Lihat doktor bergilir pam oksigen pada Hariz
Lagi rasa nak pecah hati menahan duka

Doktor pakar yang merawat datang kepada kami untuk terangkan keadaan Hariz.

Dalam semua baby di NICU ni, baby awak yang paling kritikal

Allah bagai dipanah petir mendengar kalimah itu. Hati bergetar namun terus fokus bait ayat seterusnya.

Darah baby awak sangat berasid. Kalau ikutkan seluruh organ dia dah infected dengan kuman ini. Malah dah rosakkan sampai ke epidermis kulit.

Baby tak mampu nak melawan kerana masih belum develop antibodi dia sendiri. Darah yang mengalir dalam badannya juga masih darah ibu.

Ye jangankan kata darah, even setitik susu pon Hariz tak sempat minum. Dari awal lahir, dari dalam labour room lagi beliau menolak untuk disusukan. Pampers pon kering tanpa setitik najis.

Kami perlukan darah dari ibu untuk salurkan antibodi buat baby.

Yani merelakan apa sahaja usaha untuk Hariz. Seorang doktor pelatih menghulurkan kerusi untuk Yani duduk. Tanpa berlengah mencucuk lengan untuk mengambil darah. Doktor minta kami ke bilik menunggu untuk meneruskan prosedur. Maka kami berlalu pergi sebelum dipanggil kembali melihat Hariz. Yani tak pasti darah tu sempat diberikan atau tidak. Doktor hanya mengarahkan nurse memberi peluang Yani mendakap Hariz di atas riba dengan tiub yang berselirat. Allahuakbar ini nikmat yang aku tunggu. Nak peluk erat jasad beliau. Nurse cukup memberi kerjasama waktu itu. Mereka membiarkan kami berdua ruang untuk bersama Hariz.

Ye mereka lebih faham prognosis Hariz. Very poor. Sebelum berlalu meninggalkan kami, seorang nurse pegang bahu Yani sambil berkata

Tengok tu baby tahu ma(panggilan doktor dan nurse untuk semua ibu di NICU) dia ada di sini.

Tangan Hariz kuat mengenggam seolah tidak mahu melepaskan.

Anak syurga ni ma. Syukur sangat ma.

Nurse itu menambah. Allah tersentak lagi dengan ayat ‘anak syurga’ itu. Seolah-olah mereka hanya menanti saat itu. Saat ruh terpisah dari jasad.

Sempat Yani mohon pada doktor

Boleh saya minta kebenaran untuk mak dan mertua saya masuk ke sini?

Doktor hanya mengganguk tanda setuju. Di NICU hanya ibu dan ayah sahaja dibenarkan masuk. Tapi pengalaman Yani di NICU bersama Haziq dulu, kita boleh mohon untuk benarkan nenek masuk buat kali terakhir. Yani pesan pada suami call ma dan mak. Ma bergegas datang. Sebelum itu sempat ambik Hadif di sekolah. Rumah ma dekat dengan hospital. 10 minit jaraknya. Ma sempat cium jasad Hariz yang masih hangat. Mak Yani pulak terpaksa tunggu mak sedara untuk bawak ke hospital. Agak memakan masa. Hampir sejam baru mak sampai.

Saat menantikan mak, Yani peluk cium Hariz sepuasnya. Bergilir dengan suami. Yani bisikkan kalimah ditelinganya

Hariz anak ibu yang kuat, ibu redha kehilanganmu. Hariz tunggu ibu di sana ye. Hariz pimpin tangan ibu, abah dan ahli keluarga yang lain untuk kita sama-sama masuk ke syurga Firdaus. La-ila-ha-illalah. La-ila-ha-illalah. La-ila-ha-illalah…

Ulang-ulang sebut sampai lah doktor datang sekali lagi dan melihat pada mesin nadi.

Doktor Shafie tunjukkan jam besar di dinding NICU, Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu.

Kalau ikutkan mesin ini, nyawa baby awak dah takde ye. Jam 11.47pagi waktu rasminya. Innalillah-hiwainna-ilaihirojiun…

Allah!

Hariz awak tenang sangat. Ibu tak nampak pon tanda saat akhir nafas awak. Ibarat tiada apa yang berlaku. Saat itu Yani masih memeluk erat jasadnya. Yani cium mulutnya berkali-kali. Yani tahu lepas ni takde dah peluang nak cium mulut yang mungil ini. Yani buat seoalah-olah tiada apa yang berlaku. Yani bebas pegang semahunya. Kerana Yani tahu Hariz dah tak rasa kesakitan itu.

Doktor masih beri ruang untuk Yani bersama. Waktu tu lah mak sampai ke kamar. Yani cakap

Mak, Hariz dah takde. Baru je tadi.

Berjurai air mata kami 2 beranak. Esakan Yani yang ditahan dari awal terlepas juga. Hati seorang nenek lebih derita bila kehilangan seorang cucu. Malah sampai sekarang mak masih menangis mengingatkan Hariz.

 

Hariz Dalam Kenangan

 

Nurse datang untuk mencabut semua tiub yang ada. Yani perlu tinggalkan sekejap untuk prosedur itu. Tunggu diluar NICU berjumpa dengan Hadif dan Haziq yang setia menanti kami dari awal.

Hadif, Haziq, adik Hariz dah takde.

Haziq hanya tersenyum tanda tidak faham. Dia pon baru je menyambut ulang tahun kelahiran ke-2 sehari sebelum. Hadif angguk seolah memahami.Ye Hadif cukup faham dan sampai sekarang dia masih pelik bila tengok baby orang lain hidup. Soalan dia setiap kali tengok baby orang lain

Kenapa Hariz mati?

Dia comel sangat…

Kenapa Allah tak ambik baby orang lain? Abang sayang Hariz. Abang nak dia hidup.

Sampai sekarang soalan tu masih berlegar.

Yani pula fokus untuk urusan pengebumian Hariz. Yani nak beliau ditanam dekat Pulau Rusa bersama arwah abah. Allah takdirkan tarikh kematian pon sama 20/6.

 

 

Bahagian 3: Redha Pemujuk Hati

Semangat kan badan Hariz?

Sebenarnya dia hanya lahir 2.8kg sahaja walaupun dah 10 hari lebih dari due date. Badan dia montok dan pejal. Walau dah tak bernyawa tetap Yani gomol dan picit-picit badan dia. Hilang rasa takut pada sekujur badan yang tidak bernyawa. Lupa pada kesedihan baru kehilangan nyawa yang dikandung lebih 9 bulan.

 

Hariz Dalam Kenangan

 

Perasaan waktu itu

Hariz anak ibu. Ibu nak peluk cium sepuasnya sementara ada kesempatan.

Saat ini Yani redha atas ujian yang berikan
Menantikan manisnya ganjaran yang dijanjikan

 

Kawan,

Ingat satu perkara Allah berfirman,

Aku mengikut sangkaan hambaku.

Saat kita redha, kita akan nampak indahnya hikmah disebalik kejadian. Jangan kita berkeluh kesah dan pertikaikan

Kenapa aku dipilih untuk ujian ini.

Kenapa kau tak ambik nyawa anak orang lain.

Kenapa kau kejam buat aku macam ni. Aku tak kuat untuk terima dugaan ini.

Selagi ada perasaan itu selagi itu kita tak nampak hikmahnya. Sekarang baru Yani faham kenapa seorang ibu dan ayah cukup tabah menerima kehilangan nyawa seorang anak.

R.E.D.H.A

Perkataan yang ringkas tapi beri rasa yang cukup dalam. Deep.

 

 

Bahagian 4: Tunggu Daku Di Pintu Syurga

Lepas nurse dah buang semua tiub. Yani dan suami perlu ke unit forensik atau lebih dikenali sebagai rumah mayat.

Seram kan?

Sebut je rumah mayat ada rasa gerun di hati. Kami menaiki kereta jenazah untuk ke unit forensik. Yani peluk Hariz sepanjang dalam van dan rumah mayat sementara Dean Kayree selesaikan urusan beberapa dokumen yang perlu ditanda tangan.

Selama ini Yani ni punya la penakut.
Nampak perkataan forensik pon dah kecut perut.

Tapi berbeza suasana kali ini.

Yani gembira merangkul jasad anak syurga kami.
Yani peluk, Yani cium Hariz berulang kali tanpa peduli.

Lebih 9 bulan Yani sabar mengandungkan beliau.
Tak kan Yani nak sia-siakan peluang beberapa jam bersisa.

Yani peluk erat Hariz sepanjang perjalanan ke rumah. Suami pegang waktu mandikan Hariz, Yani hanya mampu memerhati di pintu sambil memegang tuala mandi. Ye, tuala mandi yang Yani beli khas untuk Hariz. Terasa seperti biasa memandikan baby yang baru lahir. Takde yang berbeza pon.

Yani setia di sisi menantikan saat dikafankan.
Allahuakbar bersihnya muka anak syurga ini.

Hilang lebam yang ada.
Hilang seluruh kesakitan yang nyata.

 

Hariz Anak Syurga

 

Saat ini terasa kerdilnya diri ini.
Yani bukan sesiapa pun.

Yani hanya dipilih oleh Allah untuk mengandung dan melahirkan beliau.

Waktu ini cukup jelas terasa anak ini hanyalah pinjaman Allah yang sementara
Amanah untuk kita jaga sebaiknya.

Kau takde kuasa, takde hak langsung untuk pertikaikan takdir ini. Langsung tidak.

Lemah

Walau sesaat tak mampu diundur. Ramai kawan-kawan dekat dan jauh berkumpul di rumah sebaik Yani umumkan pemergian Hariz. Solat jenazah dilakukan sebanyak 2 kali di ruang tamu. Hujan gerimis mengiringi perjalanan kami seakan mengerti basah di hati.

Messenger, WhatsApp, mesej dan panggilan bertalu masuk

Sampai di tanah perkuburan,
satu liang lahad yang kecil dah siap digali.

Yani sangkakan sebelah kubur abah,
rupanya betul-betul atas abah ditanam.

Allah bertambah sayu hati ini,
terbayangkan abah sedang tersenyum menantikan cucu ke-6 menemaninya di sisi.

Ramai yang melarang Yani untuk ke kubur.
Mereka risau Yani sedih dan luka yang masih baru (2 hari).

Tetap Yani berdegil nak pegang sendiri Hariz dan serahkan pada suami untuk dikebumikan.

Jangan risau Yani masih waras untuk tidak meratap.
Air mata dah kering untuk menangis.
Malah terasa bangga nak hantar anak syurga ke ‘sana’.

Sekejap je dah selesai semua urusan.
Tanpa perlu ditalkinkan.
Baru tahu baby tak perlu talkin kerana masih tiada dosa.

Selesai urusan kami pulang ke rumah dengan perasaan kosong.

Lega hati dalam masa yang sama.
Tiada lagi panggilan dari hospital yang mencemaskan.

Kalau tak nampak je nombor hospital call.
Badan Yani yang menggigil dulu.
Hati berdebar rasa nak pecah!

Mereka yang melalui saat ini pasti faham.
Bukan kematian itu yang menyakitkan.
Tapi saat menanti kata-kata dari doktor yang merawat itu lebih azab.

Hati ibu sentiasa mahukan perubahan positif.
Tapi setiap kali doktor khabarkan berita yang tidak enak didengar terus rasa hancur luluh hati, kerongkong tersekat bagai tertelan batu, air mata laju bagai empangan pecah tak mampu ditahan.

Tenanglah kamu wahai anak syurga
Ibu dan abah tak pernah lupa
Malah sentiasa bangga
Tunggu kami di syurga ya

 

Dalam Kenangan Abadi,
Ahmad Hariz Rajaie
(Pemelihara Harapan Ibu)
18/6/2016-20/6/2016
13 – 15 Ramadhan

55 total views, 1 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge